Ahad, 22 Julai 2012

Kembara 35 : Sejarah Asrama Pelajar Johor di Iskandariah



Tahun 2005, setelah selesai urusan penyewaan Asrama Pelajar Johor di Iskandariah, Pengarah MAIJ ketika itu Dato' Ibrahim Endan mencadangkan agar diletakkan seorang jaga di bangunan tersebut tetapi kemudiannya bersetuju dengan cadangan YDP BKPJM untuk meletakkan rumah mutazawwijin (pasangan yang telah berkahwin) menggantikan jaga bagi menjaga keselamatan penghuni Asrama Pelajar Johor (APJ) Iskandariah.

Pada tahun 2007 Pengarah MAIJ Dato' Zaini Osman bersama KPP zakat mencadangkan agar rumah mutazawwijin di APJ Iskandariah itu dimansuhkan bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar johor (akhawat) di Iskandariah memenuhi seluruh syaqah di bangunan tersebut. Tindakan tersebut difikirkan rasional kerana MAIJ telah mengeluarkan sejumlah peruntukan untuk menyewa rumah tersebut demi keselesaan dan penempatan pelajar. Justeru semua syaqah perlu dimanfaatkan kepada pelajar.

Berbeza dengan apa yang berlaku di Kaherah pada hari ini. Rumah Johor yang telah dibeli sekian lama untuk menempatkan pelajar johor, terutama pelajar-pelajar baru dan pelajar yang susah kini semakin menyusut bilangan syaqahnya (bilik). Ini disebabkan beberapa syaqah telah diperuntukkan kepada pengurus asrama dan pembantu tadbir. Bahagian dalam dewan turut menjadi sempit disebabkan penambahan ruangan pejabat pengurus asrama.

Dan maklumat terkini yang diterima pihak kerajaan negeri telah bersetuju untuk menghantar beberapa orang lagi pegawai untuk membantu pengurusan di pejabat pengurus asrama pelajar Johor di Mesir. Maka mungkinkah akan ada beberapa syaqah lagi yang terpaksa 'dikorbankan' bagi memberi laluan kepada pegawai-pegawai tersebut??

Tahukah anda bahawa Rumah Johor hanya mempunyai beberapa buah syaqah sahaja untuk menempatkan pelajar??

Kesimpulannya, anak-anak Johor sepatutnya merasa lebih selesa dan merasa terjamin kebajikannya 'serba serbi' apabila sejumlah pegawai telah dan akan dihantar ke Mesir khusus untuk memberi khidmat bakti kepada pelajar.

Namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Bahkan pelajar Johor kini merasa sangat sempit untuk berorganisasi, mendapatkan peruntukan program, memohon bantuan zakat, memohon untuk masuk asrama, dengan prosedur-prosedur yang terlalu ketat dan melecehkan. Pelajar boleh membayangkan betapa lapang dan harmoninya anak-anak Johor satu ketika dahulu sebelum kedatangan para pegawai ke bumi Mesir.

Justeru bukan bilangan kakitangan yang perlu ditambah tetapi kualiti kerja para pegawai yang perlu untuk dipertingkatkan.

Adakah pegawai-pegawai yang dihantar ini benar-benar telah melaksanakan '19 item' dalam senarai tugas pegawai khas di Rumah Johor Kaherah sebagaimana yang telah digariskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor?? Kita akan sama-sama membuat penilaian.

Semoga luahan ikhlas anak Johor ini didengari dan mendapat perhatian semua pihak.


Coretan daripada Ust.Firdauz bin Noh  

Kembara 34 : Tergamakkah Kita??

Sebuah keluarga - Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir [BKPJM] - yang telah dibina pada tahun 1970. Keluarga ini telah mengemudi bahtera sudah hampir 42 tahun. Sudah mencapai usia yang cukup matang. Melahirkan pejuang dan ulama dari generasi ke generasi. Keluarga yang tidak kenal erti penat dan lelah.Mereka cuba sedaya upaya demi melihat kebajikan dan perpaduan terlaksana untuk anak-anaknya (ahli-ahlinya). Akur dan redha. Keluarga ini menyedari bahawasanya mereka bukanlah yang terbaik, tetapi cuba berusaha ke arah yang terbaik. Suka duka, pahit manis dilalui bersama dengan tabah dan cekal sehinggalah ke hari ini.


Kini, ada pula tangan-tangan yang tidak selesa melihat kebahagian keluarga ini. Tangan-tangan yang berusaha membikin onar untuk melihat perpecahan dikalangan ahli keluarga yang sedia ada. Tergamakkah kita melihat keluarga yang sekian lama terbina dihancurkan ?? Tidak terhitung pengorbanan mereka yang terdahulu. Dan alangkah sedihnya mereka, sekiranyanya mendapati kesatuan ini cuba dibubarkan. Wa iyazubillah.BKPJM KELUARGA KITA!!.~~

✿(◠‿◠) & (◕‿-)✿


 

Rabu, 11 Julai 2012

Kembara 33 : Kronologi Asrama Pelajar Johor Haiyyu Thamin



Marilah sama-sama kita soroti kembali sejarah pemilikan dan baikpulih Asrama Pelajar Johor (APJ) Haiyyu Thamin semenjak tahun 1981. Sejarah yang merakamkan pengorbanan dan kesungguhan generasi terdahulu Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) dalam memastikan kebajikan dan kesinambungan anak-anak Johor yang menuntut di bumi bertuah ini terus terpelihara.

Sejarah ini penting untuk diungkap kembali supaya generasi sekarang lebih menghargai dan menyayangi nikmat keselesaan, kesatuan, dan keharmonian yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu dalam BKPJM.

1981: Pembelian Asrama Pelajar Johor di Kaherah dari tuan rumah asal, Faiq Shihab Bisakhrun dilakukan pada tarikh 13 Julai 1981. Urusan pembelian telah disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah pada ketika itu TYT Haji Hasan Adli Bin Haji Arsyad.

Tuan rumah; Faiq Shihab Bisakhrun sendiri yang membaikpulih rumah Johor sepenuhnya sebagaimana pelan yang dikehendaki dan ianya terkandung dalam aqad perjanjian pembelian rumah.

1982: Asrama Pelajar Johor di Kaherah, Mesir telah dirasmikan oleh DYMM Al Marhum Sultan Iskandar Ibni Al Marhum Sultan Ismail Al Haj pada 12 November 1982.

Asrama yang didirikan ini merupakan hasil pungutan derma dan sumbangan ahli BKPJM, sumbangan orang ramai dan pihak kerajaan negeri Johor sendiri. Pun begitu, segala perkara yang berkaitan dengan Asrama Pelajar Johor ini diletakkan di bawah pihak Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dengan dikendalikan oleh Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir (BKPJM).

1997: Hasil lawatan kerja yang dibuat oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) ke Mesir yang diketuai oleh YB Dato’ Rahmat Bin Abdul Rahman beliau bersetuju untuk mengubahsuai bangunan asrama pelajar Johor.

1998: Bangunan Asrama Pelajar Johor diubahsuai sepenuhnya dengan pembiayaan penuh oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

2004: Rumah Johor dibaikpulih sekali lagi khusus di bahagian dewan dan cat bangunan dengan pembiayaan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor.

2010: Hasil permohonan pimpinan BKPJM selama beberapa sesi dan sokongan dari pihak Pegawai HEP Ust Ahmad Hanif Naim Asrama Pelajar Johor Haiyyu Thamin sekali lagi dibaikpulih dengan pembiayaan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor