Ahad, 22 Julai 2012

Kembara 35 : Sejarah Asrama Pelajar Johor di Iskandariah



Tahun 2005, setelah selesai urusan penyewaan Asrama Pelajar Johor di Iskandariah, Pengarah MAIJ ketika itu Dato' Ibrahim Endan mencadangkan agar diletakkan seorang jaga di bangunan tersebut tetapi kemudiannya bersetuju dengan cadangan YDP BKPJM untuk meletakkan rumah mutazawwijin (pasangan yang telah berkahwin) menggantikan jaga bagi menjaga keselamatan penghuni Asrama Pelajar Johor (APJ) Iskandariah.

Pada tahun 2007 Pengarah MAIJ Dato' Zaini Osman bersama KPP zakat mencadangkan agar rumah mutazawwijin di APJ Iskandariah itu dimansuhkan bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar johor (akhawat) di Iskandariah memenuhi seluruh syaqah di bangunan tersebut. Tindakan tersebut difikirkan rasional kerana MAIJ telah mengeluarkan sejumlah peruntukan untuk menyewa rumah tersebut demi keselesaan dan penempatan pelajar. Justeru semua syaqah perlu dimanfaatkan kepada pelajar.

Berbeza dengan apa yang berlaku di Kaherah pada hari ini. Rumah Johor yang telah dibeli sekian lama untuk menempatkan pelajar johor, terutama pelajar-pelajar baru dan pelajar yang susah kini semakin menyusut bilangan syaqahnya (bilik). Ini disebabkan beberapa syaqah telah diperuntukkan kepada pengurus asrama dan pembantu tadbir. Bahagian dalam dewan turut menjadi sempit disebabkan penambahan ruangan pejabat pengurus asrama.

Dan maklumat terkini yang diterima pihak kerajaan negeri telah bersetuju untuk menghantar beberapa orang lagi pegawai untuk membantu pengurusan di pejabat pengurus asrama pelajar Johor di Mesir. Maka mungkinkah akan ada beberapa syaqah lagi yang terpaksa 'dikorbankan' bagi memberi laluan kepada pegawai-pegawai tersebut??

Tahukah anda bahawa Rumah Johor hanya mempunyai beberapa buah syaqah sahaja untuk menempatkan pelajar??

Kesimpulannya, anak-anak Johor sepatutnya merasa lebih selesa dan merasa terjamin kebajikannya 'serba serbi' apabila sejumlah pegawai telah dan akan dihantar ke Mesir khusus untuk memberi khidmat bakti kepada pelajar.

Namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Bahkan pelajar Johor kini merasa sangat sempit untuk berorganisasi, mendapatkan peruntukan program, memohon bantuan zakat, memohon untuk masuk asrama, dengan prosedur-prosedur yang terlalu ketat dan melecehkan. Pelajar boleh membayangkan betapa lapang dan harmoninya anak-anak Johor satu ketika dahulu sebelum kedatangan para pegawai ke bumi Mesir.

Justeru bukan bilangan kakitangan yang perlu ditambah tetapi kualiti kerja para pegawai yang perlu untuk dipertingkatkan.

Adakah pegawai-pegawai yang dihantar ini benar-benar telah melaksanakan '19 item' dalam senarai tugas pegawai khas di Rumah Johor Kaherah sebagaimana yang telah digariskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor?? Kita akan sama-sama membuat penilaian.

Semoga luahan ikhlas anak Johor ini didengari dan mendapat perhatian semua pihak.


Coretan daripada Ust.Firdauz bin Noh  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan