Ahad, 26 Disember 2010

Kembara 16 Dari mana dan Kemana kita???

Bagaimana diri kita dan amalan kita? Bagaimana boleh kita mengenalnya? Adalah antaranya melalui ilmu Tasauf. Adakah kita mengerti maksud ilmu tasauf itu secara mendalam? Atau hanya sekadar mudah dilafazkan di bibir sahaja? Ilmu tasauf dari sudut pandangan saya ialah merupakan salah satu ilmu yang mana dapat mentarbiayah diri kita menjadi seorang hamba  patuh dan taat bulat-bulat kepada Allah serta menjadikan seseorang itu tawaduk dan serba zuhud dalam kehidupan bagi menharapkan keredhaan dari-Nya. Segelintir  manusia merasakan ia hanya sekadar ilmu yang  harus diketahui sebagaimana ilmu – ilmu yang lain ataupun ianya  ilmu untuk -orang yang ingin membersihkan dirinya atau  sekadar jalan bagi orang-orang yang mengharapkan kelebihan duniawi. Tapi tidak ramai yang merasakan dalam diri mereka bahawa segala amalan dan gerak-geri mereka tidak akan diterima oleh Allah S.W.T jika dilakukan tanpa hati yang bersih.

Sedarilah wahai teman semua,
Sungguh, tidaklah  kita dihidupkan di dunia ini hanya sia-sia. Adakah kita sudah lupa perjanjian yang telah kita meterai dengan Rafiqil ‘Ala-Allah S.W.T-terhadap penciptaan kita di bumi ini terhadap-Nya? Sesungguhnya termaktub firman-Nya di dalam Kitab il-Aziz :

وَمَا خَلَقْتُ الجِنَّ وَالِإنسَ إلاَّ لِيَعْبُدُون
(51:56)

Betapa besarnya tanggungjawab kita sebagai seorang hamba kepada Allah S.W.T yang mana sekaligus kita dilaktik menjadi khalifah di muka bumi ini. Pertanggungjawaban dan amanah oleh Allah  yang ingin diberikan kepada langit, bumi, gunung-ganang  semuanya enggan dan takut kepada Allah S.W.T. Lalu manusia mengambil amanah itu. Disamping beribadah, tidak dilupakan untuk kita berusaha keluar mencari rezeki kurniaan dari-Nya.
Kita  acapkali alpa terhadap ini semua. Kita leka dan lupa tanggungjawab kita tentang maksud hidup kita di muka bumi ini. Ada yang bertanggapan dunia yang dikecapi ini adalah kekal segala-galanya dan manakala akhirat itu hanyalah seolah-olah tidak berlaku walaupun mereka beriman dengan adanya. Mana perginya hati untuk IMAN, ISLAM dan IHSAN??? Jika dilihat pada zaman milinia serba canggih ini, yang baik dianggap jahat dan keji, manakala yang buruk itulah yang kita rasakan sungguh sempurna dan terpuji. Adakah hati kita tenang pabila dicerita tentang dunia dan berpaling pula ketika mana diceritakan perihal akhirat atas kerana perasaan benci yang ada dalam diri? Malangnya jika perkara ini berlaku pada diri kita selaku orang yang telah dianugerahkan oleh-Nya kefahaman dalam agama tetapi kita masih tercari-cari matlamat kita di dunia. Bersolat dan berzikir belum menjamin kita tergolong dikalangan orang yang mendapat tempat di sisi tuhan Pencipta Sekalian Alam. Amalan-amlan lain juga turut akan dikira dan dipertimbangkan di akhirat kelak.
Sedarlah wahai teman semua ,
Pembersihan jiwa tidak akan berhasil melainkan dengan amalan. Maka  dengan sebab itulah orang yang melalui jalan ini perlu bermujahadah dan beristiqomah dalam perjalanannya.Jika tersilap sedikit maka dia tidak akan berjaya sampai kepada tujuannya yang sebenar iaitu redha Allah Azza Wajalla.  Kita dimasukan ke syurga adalah kerana rahmat-Nya dan dimasukkan ke neraka adalah kerana keadilanNya. Jangan kita tertipu dengan amalan kita tetapi lakukan suruhan Allah Taala itu semata-mata keranaNya(ikhlas). Mengharapkan cinta dan redhaNya serta takutkan marah dan kebencianNya.
Maka, renungan untuk kita bersama; persiapkanlah bekalan kita yang sebenarnya untuk bertemu Allah S.W.T di hari yang tiada manfaat bagi seseorang itu oleh harta benda dan anak-pinak melainkan orang yang datang dengan hati yang sejahtera. Hati yang bersinar dengan nur ilahi.Hati seorang hamba yang suci dari berpaling kepada selain tuhannya.

  Dedikasikan khas buat,
Diri ini hamba pendosa...673



Tiada ulasan:

Catat Ulasan